KURIKULUM BERSEPADU TAHFIZ

PENGENALAN

Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) adalah kurikulum yang digubal berdasarkan kurikulum tahfiz al-Quran dari pelbagai institusi pendidikan agama yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jawatankuasa Kurikulum Agama Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) KBT menggabungkan dua komponen mata pelajaran tahfiz al Quran dengan sebahagian mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Pengintegrasian komponen ini diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang menghafaz al-Quran (al-hafiz), menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu al-Quran di samping ilmu-ilmu lain. KBT ini juga akan memastikan pelajar dapat menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa 5 tahun pengajian di peringkat sekolah menengah.

OBJEKTIF

Objektif KBT adalah seperti berikut :

  • Melahirkan modal insan yang menghafaz dan memahami 30 juzu’ al-Quran
  • Melahirkan modal insan yang boleh menjalinkan hubungan dengan Allah, sesama manusia dan dengan kejadian alam berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah
  • Melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang keagamaan dan profesional berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah
  • Melahirkan modal insan yang berupaya memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah, memaksimumkan keupayaan berfikir serta berfikiran kreatif dan inovatif.

BAHASA PENGANTAR BAGI MATA PELAJARAN 

Bahasa pengantar bagi mata pelajaran kurikulum tahfiz ialah bahasa Arab manakala mata pelajaran KBSM adalah dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

PENTAKSIRAN DAN PELAPORAN 

Pentaksiran KBT adalah dengan menggunakan kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di peringkat menengah rendah seperti mana mata pelajaran lain yang dilaksanakan di sekolah-sekolah KPM. Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM) dan instrumen pentaksiran akan digunakan bagi dua mata pelajaran berikut:
  • Hifz al-Quran. 
  • Maharat al-Quran
Pelaporan akhir KBT di peringkat menengah rendah adalah seperti berikut : 
Pelaporan Pentaksiran Pusat 
Pelaporan Pentaksiran Sekolah 
Pelaporan Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJSK) 
Pelaporan Psikometrik. ·

Sijil pencapaian hafazan akan dikeluarkan kepada murid menengah rendah. 

Pada peringkat menengah atas pula, pentaksiran berdasarkan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan murid akan menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mata pelajaran Hifz al-Quran dan Maharat Al-quran akan disenaraikan sebagai mata pelajaran dalam SPM 

Sijil pencapaian hafazan akan dikeluarkan kepada murid menengah atas.


PENUTUP

Hasrat KPM untuk melahirkan golongan profesional hafiz yang berdaya kepemimpinan mantap dan seimbang dapat memberi sumbangan besar kepada transformasi pendidikan negara. Kejayaan pelaksanaan KBT amat bergantung kepada komitmen yang tinggi dan usaha gigih semua pihak demi kebaikan dan kemanfaatan agama, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment