SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH




Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Ulu Gadong (SMAHMY) merupakan sebuah sekolah menengah aliran agama yang terletak di Kota, Rembau, Negeri Sembilan. Sekolah ini dikelilingi oleh kawasan kampung yang indah nan permai, berlatar belakangkan banjaran Titiwangsa yang berbukit bukau serta berhampiran dengan Gunung Dato' (gunung tertinggi di daerah Rembau).

SMAHMY telah diasaskan oleh Allahyarham Tuan Hj. Mohd. Yatim b. Hj. Zainal (seorang anak tempatan). SMAHMY kemudiannya berada di bawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (Bahagian Pendidikan) , Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Namun kini SMAHMY telah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah pentadbiran Bahagian Pendidkan Islam (BPI) setelah majoriti sekolah agama di pindahkan bawah program SABK pada bulan November tahun 2008.

Kebanyakan pelajar-pelajar yang menuntut di sini terdiri daripada anak-anak yatim & miskin berumur di antara 13 hingga 17 tahun. Mereka bukan sahaja berasal dari Negeri Sembilan malah dari Melaka, Johor, Pahang, Selangor dan juga Kuala Lumpur.

SMAHMY merupakan satu-satunya sekolah menengah di Malaysia yang menggabungkan pendidikan agama dan penjagaan anak-anak yatim, miskin di dalam satu kawasan khas. Kebiasaannya di rumah anak yatim yang lain,para penghuninya bersekolah di sekolah yang berbeza-beza tetapi tidak di SMAHMY. Di sini, mereka bersekolah di satu sekolah yang sama dan tinggal sebumbung di asrama yang sama. Pihak sekolah telah bekerjasama dengan Jemaah Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Ulu Gadong dalam menguruskan hal ehwal pelajar-pelajar di sini.

Usaha murni untuk membela dan memperjuangkan nasib golongan kurang bernasib baik ini harus dipuji dan segala bentuk sumbangan daripada orang ramai (berupa fizikal atau moral) amat dialu-alukan. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada pihak sekolah sendiri.

Pengasas dan para perintis SMAHMY
(Marilah kita sama-sama hadiahkan sekalung Al-Fatehah buat mereka yang telah banyak berjasa kepada sekolah ini....)

Dalam era sebelum kemerdekaan, golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan miskin kurang mendapat perhatian dan pendidikan yang sewajarnya. Sehubungan itu, Allahyarham Haji Mod Yatim telah mengilhamkan penubuhan institusi ini bagi menyediakan pendidikan kepada golongan tersebut.

Beliau menyeru penduduk kampung Ulu Gadong untuk sama-sama bergotong-royong mendirikan madrasah dan juga asrama bagi menempatkan anak-anak yatim dan miskin ini. Usaha murni beliau turut dibantu oleh rakan-rakannya iaitu Cikgu Taha, Penghulu Hj. Abu Bakar, En. Muhur Raja Yunus, Tuan Hj. Abd. Karim, Tuan Hj. Sharif dan Tuan Hj. Harun b. Hj. Lasim. Pada tahun 1948, madrasah dan asrama didirikan. Madrasah tersebut telah dinamakan 'Madrasah Al-Ittihadiyyah'
Bermula dari saat itu, anak-anak yatim dan miskin mula ditempatkan di sini serta menerima pendidikan dari Allahyarham. Untuk mengatasi masalah bekalan makanan, beliau menyeru kaum ibu supaya menyumbang segenggam dua beras setiap kali menanak nasi. Berkat daripada sumbangan segenggam beras inilah menjadikan madrasah ini terus berkembang maju. Jumlah penghuni madrasah ini semakin hari semakin bertambah berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Corak pendidikan negara telah mengalami perubahan mendadak selepas Malaya mencapai kemerdekaan. Dengan itu, pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah menaik taraf madrasah ini kepada sekolah menengah bagi mewujudkan sistem pembelajaran yang lebih tersusun dan sistematik. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah dipertanggung-jawabkan bagi memantau perjalanan institusi pendidikan ini serta menghulurkan bantuan mengikut akta yang telah diperuntukan.

Pada tahun 1970-an, YB. En. Dalan bin Aman (ADUN kawasan Kota) dan YB. Dato’ Mokhtar b. Hj. Hashim (Ahli Dewan Rakyat) telah mengusahakan bantuan untuk memperbaiki kedudukan institusi ini bagi menjamin sumber bantuan yang lebih teguh.
Maka pada tahun 1979, asrama baru dapat dibina dengan peralatan yang lengkap dengan kos hampir mencecdah 300,000 ringgit serta dapat menampung lebih 200 orang pelajar. Sokongan dan bantuan bertambah banyak diperolehi dan berita mengenai institusi ini telah disebarkan dengan meluas melalui media massa.

Kemudian, nama madrasah ini telah ditukar kepada Sekolah Menengah Agama Ulu Gadong sebelum ditukar kepada Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Ulu Gadong (SMAHMY) pada penghujung 90-an, sempena mengambil nama pengasas sekolah ini.

Hari ini SMAHMY terus membangun seiring dengan arus perdana, lengkap dengan pelbagai infrastruktur dan bangunan asrama/dewan makan/surau/bilik komputer/makmal yang serba moden. SMAHMY kini mampu berdiri megah seiring dengan sekolah-sekolah lain setelah lebih setengah abad mengharungi pelbagai liku dan cabaran.

Pada tahun 2014, sekolah telah menerima Bayaran Intensif Tawaran Baharu (BITB) kepada
Pengetua dan Warga Sekolah bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan kerana
Peningkatan sekolah pada tahun 2013.

        Pada Tahun 2015, sekolah telah menerima sebuah kantin baharu dan Dewan terbuka untuk
Kemudahan pelajar yang belajar di sini. 

       Bermula tahun 2016, Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim telah memilih Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) adalah kurikulum yang digubal berdasarkan kurikulum tahfiz al-Quran dari pelbagai institusi pendidikan agama yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jawatankuasa Kurikulum Agama
Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bemula tingkatan 1/2016.

       KBT menggabungkan dua komponen mata pelajaran tahfiz al Quran dengan sebahagian mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Pengintegrasian komponen ini diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang menghafaz al-Quran (al-hafiz), menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu al-Quran di samping ilmu-ilmu lain. KBT ini juga akan memastikan pelajar dapat menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam masa 5 tahun pengajian di peringkat sekolah menengah.


Suntingan oleh : Zaitul Asma binti Zahari (Guru ICT SMAHMY)

No comments:

Post a Comment